Puan Salimah dan Encik Allern mempunyai sepasang anak kembar seiras iaitu Dayana dan Dayini . Kalau diperhatikan betul-betul semuanya hampir sama warna kulit kuning-kuning langsat sehinggakan ketinggian mereka pun hampir sama. Namun , sikap antara dua orang kembar itu amat berbeza. Dayana berwatakkan lembut tetapi Dayini berwatakkan seperti lelaki. Hampir setiap hari kembar ini asyik bergaduh.
Seperkara lagi, mereka juga tidur di bilik yang sama, tetapi ada garis pemisah yang mereka buat untuk memastikan mereka ada kawasan yang tersendiri. Warna bahagian mereka juga berlainan .Bahagian Dayana berwarna biru kundang lembut dan dihiasi anak-anak patung dan novel-novel yang disusun rapi di atas rak. Manakala bahagian Dayini berwarna biru gelap dan dihiasi permainan budak lelaki dan beberapa poster pemain bola sepak.
Pada suatu hari, ketika Dayana sedang berangan-angan di hadapan cermin di biliknya, dia bertanya kepada adiknya, Dayini.
“Apabila sudah besar nanti, kakak mahu jadi ratu cantik lah. Apa pendapat kamu Yini?” tanya kakaknya sambil mengurut rambutnya yang panjang.
“Apa ?! Ratu cantik? Kakak fikir kakak cantik kah?”Dayini menjuihkan bibirnya.
“Kenapa ,tidak percayakah? Tentulah saya cantik. Hampir semua orang di kelas kata saya cantik,” jawapan kakaknya membuatkan Dayini berasa hendak muntah. Tanpa disedari kakaknya, Dayini terus mencapai bantal Narutonya dan terus menekup mukanya.
“Kalau kamu, kamu hendak jadi apa bila besar ?”dia bertanya. Tetapi tiada respons dari adiknya itu.
“Yini..ooo..Yini. Dah tidur rupanya,” Dayana merungut. Jam menunjukkan pukul 10 :30 malam. Esok hari Sabtu, jadi bolehlah dia tidur lewat. Rancang kakaknya. Dia pun menepuk-nepuk bantal yang berbentuk bunga.
Keesokannya, Puan Salimah mengajak kedua puterinya membeli belah di bandar selepas makan tengah hari. Dayana dan Dayini berasa sangat gembira. Bolehlah Yana membeli patung baharu. Tetapi, Yini meminta ibunya untuk membeli kereta kawalan jauh edisi baharu. Memang canggihlah.
“Eh, Yini itukan permainan budak lelaki.Cuba jadi macam wanita sedikit,”sampuk Encik Allern.
“Yini hanya mahu beli permainan lelaki, Bukannya menjadi lelaki,”jawab Yini.
“Tengok tu, menjawab cakap ayah.Suka hati kamulah, malas ayah hendak layan,”kata bapanya.
“Sudah-sudah, selepas kemas meja makan ini,kamu berdua terus siap. Nanti terlambat pula,”suruh Puan Salimah.
Selepas makan, Yana mengemas meja makan sebelum pergi. Yini juga tolong.Tolong melihat kakaknya mengemas.Sememangnya dia seorang yang berat tulang.
“Tengok sahaja, tolonglah sekali ,”kata kakaknya.
Dia malas melayan kakaknya itu.Dia terus beredar dari situ untuk bersiap-siap.Dia tidak sabar-sabar untuk membeli permainan itu.
Lima belas minit kemudian , Dayini berkata “Lambatlah kamu berdua bersiap.Macam perempuan.”
“Memanglah kami perempuan,”kata Dayana ringkas.
Tepat pukul 1:30 petang,mereka pun bertolak ke pusat beli belah yang sering mereka kunjungi.Setiba sahaja di sana, Dayini terus menarik tangan ibunya ke kedai kanak-kanak lelaki manakala kakaknya menarik tangan ibunya ke kedai anak patung.
“Sudah!” kata ibunya tegas. “Ibu ikut kakak kamu dahulu baru kita pergi kedai yang kamu pinta ,”kata ibunya kepada Dayini.
“Asyik-asyik kakak sahaja yang dahulu.Sampai beli barang, kedudukan kelas dan badut hidung bulat-bulat tu pun kata saya hanya layak mendapat tempat kedua sahaja” keluh Dayini panjang.
Puan Salimah malas hendak melayan anaknya itu.Dia terus ke kedai yang dikehendaki Dayana. Dayini melangkah longlai. Apabila Dayana sudah habis membeli barangannya Dayini terus menarik tangan ibunya ke kedai itu.
“Ibu , saya hendak beli kereta kawalan jauh ini,”pinta Dayini bersungguh-sungguh.
“Baiklah,tetapi kena jaga betul-betul, ya ?”kata Puan Salimah.Dayini berasa sangat gembira lalu mengucapkan terima kasih kepada ibunya.
Hampir dua jam setengah mereka tawaf pusat beli belah itu. “Ingatkan tidak ingat mahu pulang lagi,”kata Dayini di dalam hati.
Ketika dalam perjalanan pulang Dayini bertanya kakaknya, “Betulkah kakak lahir lima minit awal daripada saya?”
“Mestilah,itu yang membezakan kita,”kata kakaknya penuh bangga.
“Huh, Itu pun mahu berlagak.Lima minit sahaja pun”kata Dayini.Perbualan mereka berhenti di situ.
Setiba sahaja di rumah mereka,Dayini duduk berehat di luar sedangkan kakaknya sudah masuk.Dia ternampak Mak Lijah yang berasal dari Jawa itu.
Dia pun mula berbual-bual sehingga dia bertanya “Mak cik, kalau kakak saya lahir lima minit awal pun kira kakak ya?”
“Kalau di kampung mak cik,siapa yang keluar dahulu dia adik kerana kakak akan memberi laluan kepada adiknya keluar dahulu,”kata Mak cik Lijah dengan lorat-lorat Jawa yang susah diperbetulkan.
Dayini berasa gembira.Dia pun memberi salam kepada Mak Lijah lalu beredar dari situ.
Apabila tiba waktu sekolah,mereka terpaksa menaiki motor kerana ibunya tiada untuk beberapa hari kerana ada kursus bermula hari itu.Ayahnya membuat tawaran,siapa yang mendapatkan topi keledar di atas almari kasut,dia yang akan ke sekolah dahulu.
Apa lagi,mereka pun mula berebut.Tarik punya tarik,akhirnya Dayini mengalah.Dia memberi laluan kepada kakaknya untuk ke sekolah dahulu apabila teringat kata-kata Mak Lijah.
Mula-mula dia berasa kecewa, tetapi dia gembira ada juga orang yang mengangap dia ini pertama kerana kakak mestilah memberi laluan kepada adiknya untuk keluar dahulu.Jadi,dialah kakak. Biarlah mereka tidak tahu sekali pun,janji dia tahu.
Ayahnya pun sampai ke rumah sesudah menghantar kakaknya atau adiknya. Dia pun segera menaiki motor untuk ke sekolah dengan perasaan gembira.